Oleh Alimuddin Mohd. Dom
BEBERAPA orang rakan yang menjadi pengusaha institut pendidikan
tinggi swasta (IPTS) bumiputera bertanya kepada penulis apakah mereka
ada peluang untuk turut terlibat dalam anjakan besar Agenda Pemerkasaan
Ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak baru-baru ini.
Penulis memberi jawapan ringkas iaitu : Jangan bimbang sudah tentu
ada!" Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diilhamkan oleh
Perdana Menteri itu sememangnya bertujuan mengangkat dan memperkasa apa
sahaja inisiatif ekonomi bumiputera.
Sebagai contoh sebanyak RM1 bilion diperuntukkan melalui Dana
Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membiayai program latihan,
pendidikan, keusahawanan dan inovasi.
Selain itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) diberikan tanggungjawab
menetapkan pengambilan pelajar seramai 250,000 menjelang tahun 2020 yang
kini bilangan pelajarnya berjumlah 180,000 orang.
Selain itu, Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) diwujudkan dalam semua
kementerian bertujuan merangka cadangan, melaksana, memantau dan menilai
segala agenda dan aktiviti ekonomi bumiputera.
Tambah penulis apa yang perlu dilakukan oleh pengusaha IPTS
bumiputera adalah menyokong, mengambil bahagian dan menjadikan agenda
besar ini sebagai cabaran untuk memperkasakan institusi pendidikan
mereka.
Sampai masanya mereka perlu berkumpul, berbincang dan mengambil kata
sepakat bagi mencari jalan bagaimana kerjasama pintar atau smart
partnership melalui kaedah menang-menang dapat diwujudkan dan
mengemukakannya kepada pembuat dasar di Kementerian Pendidikan, Mara dan
UiTM.
Dalam hal ini Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta
Bumiputera Malaysia (PKIBM) yang menaungi kolej, kolej universiti dan
universiti swasta milik bumiputera perlu mengorak langkah secara
proaktif dan bertindak segera.
Satu kertas cadangan yang komprehensif perlu disediakan untuk dibincangkan secara telus dengan pihak yang berkuasa.
Antara perkara yang boleh diberi tumpuan adalah Fokus Pemerkasaan
Pertama iaitu Mendaya Modal Insan Bumiputera. Pada hakikatnya hingga
kini kerajaan telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar
bumiputera di institusi tinggi awam dalam dan luar negara.
Namun demikian isu yang kerap ditimbulkan adalah ketidakserasian
kelayakan dan kemahiran tenaga kerja yang dihasilkan dengan keperluan
pasaran pekerjaan. Bagi mengatasinya beberapa cadangan telah dikemukakan
iaitu:
Pertama - Bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan
tahap kemahiran akan diberikan peluang kedua dengan memperbanyakkan
program peningkatan kemahiran melalui aktiviti reskilling untuk
memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
Kedua - Penekanan diberikan kepada golongan graduan yang masih
menganggur melalui program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran
agar bersesuaian dengan keperluan industri.
Ketiga - Memperbanyakkan program yang memberi peluang kepada graduan
mengikuti latihan pasca ijazah di peringkat sarjana dan Ph.D terutama
dalam bidang kritikal.
Keempat - Berusaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional
dan bertauliah dalam bidang perakaunan, undang-undang, perubatan,
arkitek, kejuruteraan dan ahli sains aktuari.
Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh IPTS bumiputera iaitu
dengan turut sama berkongsi kemahiran dan keupayaan yang mereka miliki
bagi melahirkan modal insan seperti yang dicadangkan itu.
Sudah tentu penambahbaikan perlu dilakukan terlebih dahulu di
institusi mereka melalui peningkatan kualiti kurikulum dan program
pengajian agar selaras dengan matlamat dan usaha pemerkasaan modal insan
itu.
Kertas cadangan yang akan dimajukan itu perlu meyakinkan pihak
pembuat dasar bahawa program pengajian yang ditawarkan dapat mengangkat
kebolehupayaan pelajar dalam memasuki pasaran pekerjaan.
Sasaran
bilangan pelajar yang akan dihasilkan secara berperingkat-peringkat juga
perlu dinyatakan dengan jelas hingga menjelang tahun 2020.
Pada hemat penulis sekiranya ada kerjasama pintar melalui kaedah
menang-menang antara IPTS bumiputera dan agensi seperti GiatMara,
Institut Kemahiran Belia Negara, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera,
Jabatan Perkhidmatan Awam, Mara dan lain-lain maka matlamat menjayakan
misi pemerkasaan modal insan bumiputera itu akan dapat direalisasikan.
Satu lagi peluang yang boleh diterokai oleh IPTS bumiputera ialah
apabila Perdana Menteri melontarkan slogan popular UiTM Di Hatiku.
Beliau memberikan tanggungjawab kepada UiTM untuk menambah bilangan
pelajar hingga 250,000 orang menjelang tahun 2020. Kini bilangan pelajar
berjumlah 180,000 orang, ini bermakna UiTM perlu menambah bilangan
pelajarnya seramai 70,000 orang lagi dalam tempoh enam tahun yang akan
datang.
Bagi tujuan tersebut IPTS bumiputera perlu menyediakan satu lagi
kertas cadangan untuk dinilai oleh Kementerian Pendidikan dan UiTM
dengan menjelaskan bagaimana suatu kerjasama pintar membantu melatih
pelajar tersebut. Sebagai contoh boleh diadakan program kolaborasi iaitu
sejumlah pelajar akan dilatih dan di tempatkan di IPTS bumiputera itu.
Dengan cara ini sasaran tambahan 70,000 pelajar itu dapat dicapai
dengan mudah. Kaedah ini juga menjimatkan perbelanjaan kerana IPTS
bumiputera telah sedia memiliki infrastruktur yang lengkap, mempunyai
tenaga pengajar yang mencukupi dan sejarah kejayaan melahirkan pelajar
berketerampilan yang boleh dibanggakan.
Bagaimanapun sebelum kerjasama ini dilaksanakan Kementerian
Pendidikan dan UiTM perlu memberikan syarat yang ketat agar pelajar yang
dilahirkan nanti mempunyai kualiti yang tinggi selaras dengan matlamat
untuk pemerkasaan modal insan bumiputera.
Sesungguhnya kerjasama pintar ini akan memberi peluang kepada banyak
IPTS bumiputera turut terlibat dalam agenda besar yang diilhamkan oleh
Perdana Menteri.
Mengakhiri perbualan dengan pengusaha-pengusaha itu penulis memberi
keyakinan bahawa institusi pendidikan yang mereka miliki adalah termasuk
dalam Fokus Pemerkasaan Keempat iaitu Memperhebat Keusahawanan dan
Perniagaan Bumiputera seperti yang terkandung dalam strategi Pemerkasaan
Ekonomi Bumiputera.
Pada teorinya perkembangan pesat bilangan pelajar institusi
pendidikan tinggi awam (IPTA) akan menguncupkan pula bilangan pelajar
IPTS. Jika tidak ditangani dengan betul mungkin ada IPTS bumiputera yang
gulung tikar nanti.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad dan Pengerusi Kolej
Teknologi Antarabangsa Cybernatics.