Friday 26 September 2014

IPTS Bumiputera pertama miliki hospital (Berita Harian, 22 Jun 2014):


Shah Alam: Management & Science University (MSU) bakal menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Bumiputera pertama memiliki hospital pengajar ke arah melahirkan lebih ramai pakar perubatan.

Hospital itu yang akan dikenali sebagai Pusat Pakar MSU kini dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun ketiga 2016. Presidennya, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata hospital itu yang menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada orang awam akan turut menjadi pusat latihan amali bagi pelajar dalam bidang sains perubatan dan kesihatan. 

Lahir lebih ramai pakar perubatan

Katanya, kemudahan itu bakal menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai pakar perubatan MSU kerana ia mampu meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan. “Fasa ketiga pembinaan kemudahan kampus MSU berjalan lancar termasuk pembinaan hospital MSU yang boleh memuatkan 250 katil di kampus MSU, Seksyen 13, Shah Alam.

“Ia akan menjadi pusat latihan tambahan bagi pelajar perubatan selain 32 hospital dan dan pusat kesihatan yang menyediakan peluang praktikal bagi penuntut bidang itu ketika ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen ke-15 MSU di sini, semalam.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, selaku Canselor MSU berkenan menyampaikan diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah kepada 922 graduan daripada 51 bidang pengajian sempena konvokesyen itu. Hadir sama, Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

No comments:

Post a Comment