Tuesday 9 September 2014

Kerajaan tak pernah lupa bantu pelajar IPTS (Sinar Harian, 16 November 2013):




SEPANG - Kerajaan tidak pernah mengabaikan bantuan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata, kerajaan melalui agensi yang diamanahkan untuk memberi biasiswa seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa bersedia untuk membantu.

"Bantuan sentiasa ada untuk membantu pelajar IPTS terutamanya mereka yang tergolong daripada keluarga berpendapatan rendah," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-10 Kolej Teknologi Timur di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Lamien Sawiyo. Turut hadir Pengerusi Kolej Teknologi Timur, Datuk Mohd Sarit Yusoh dan Ketua Esekutif Kolej Teknologi Timur, Datin Seri Norayini Ali.

Katanya, faktor ini menyebabkan kemasukan pelajar ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS kini dilihat seimbang ditambah pula dengan kursus yang ditawarkan di IPTS juga terdapat di IPTA.
"Senario kini telah berubah di mana ibu bapa lebih mementingkan kursus yang diambil berbanding dengan universiti atau kolej yang ingin dimasuki," katanya.

Shahidan berkata, IPTS adalah pelengkap kepada sistem pendidikan negara kerana ia merupakan sebahagian daripada universiti-universiti awam yang mana kos operasinya mendapat subsidi kerajaan.
"Beberapa universiti baharu yang ditubuhkan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 sebenarnya masih tidak mampu untuk menampung bilangan pelajar yang saban tahun mendapat keputusan cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), namun dengan adanya IPTS masalah berkenaan dapat ditangani, "katanya.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 894 pelajar menerima sijil dan diploma masing-masing. - Bernama

No comments:

Post a Comment